Garis masa Kembara Kenali Borneo

Kembara Kenali Borneo di Sabah
Bandar dan tempat tumpuan Kembara Kenali Borneo di Sabah

3 September

Para kerabat tiba di Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau pada 1:50 petang, dan konvoi bergerak ke bandar Tawau selama lima jam 30 minit. Pada waktu malam, majlis santapan dan majlis pelancaran diadakan di Dewan Perbandaran Tawau.[5][6] Majlis dihadiri oleh para kehormat, termasuk Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor serta wakil Sarawak, menteri kebudayaan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah, dan melibatkan pameran kebudayaan serta masakan setempat.[7]

4 September

Kembara Kenali Borneo bermula di Bulatan 0KM Padang Perbandaran, Tawau, Sabah, dan berangkat ke arah Lahad Datu.[8] Di Lahad Datu, Sultan Abdullah berkenan melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), pangkalan polis marin Lahad Datu serta kawasan perumahan para pegawai, dan dipertunjukkan perkembangan gerakan ketenteraan di sana.[9] Sementara itu, Tunku Azizah pula berangkat ke majlis santapan rakyat di Dewan Perdana Lahad Datu terlebih dahulu, sebelum Sultan Abdullah turut tiba, dan merangkumi pelbagai aktiviti seperti memasak, pertunjukan kebudayaan dan kurniaan bantuan kepada golongan kurang upaya.[9] Konvoi kemudiannya berangkat ke Sandakan dan bermalam di situ.[10]

5 September

Konvoi pada 5 September merangkumi kawasan timur laur Sabah seperti Sandakan serta Beluran, dan kemudiannya ke pertengahan Sabah, dengan lawatan di pekan Telupid dan Kundasang.[10] Baginda berkenan melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan menjenguk spesies-spesies Borneo terancam seperti orang utan Borneo dan gajah Borneo.[11] Di samping itu, baginda turut berkenan melawat tapak pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo.[12] Baginda berkenan menghadiri majlis santapan dan pertunjukan kebudayaan di Telupid.[13] Konvoi pada 5 September berakhir di Kundasang dengan satu lagi majlis santapan, dan disertai pertunjukan kebudayaan Ranau.[14]

6 September

Pada 6 September, Kembara Kenali Borneo tiba di ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.[15] Perjalanan bermula dari Ranau, dan baginda berkenan singgah di Nabalu,[16] sebelum melintasi Tamparuli dan Sepanggar lalu tiba ke pusat Kota Kinabalu.[17] Di pusat bandar, Sultan Abdullah berkenan merasmikan kompleks Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah,[18] sementara Raja Permaisuri dijadual melawat Jabatan Penjara.[19] Majlis santapan pada waktu malam dianjurkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, dan dihadiri tetamu kehormat negeri Sabah.[20]

7 September

Kembara Kenali Borneo di Sarawak dan Brunei
Bandar dan tempat tumpuan Kembara Kenali Borneo di Sarawak dan Brunei

Pada waktu pagi, lawatan ke kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun di Penampang diadakan, dengan pertunjukan kebudayaan diadakan.[21] Ini menandakan akhir perjalanan Kembara Kenali Borneo di Sabah.

Pada waktu malam, konvoi mula memasuki negeri Sarawak, dengan permulaan di Lawas.[22][23] Kemudian, konvoi memasuki Brunei melalui Temburong, dengan kedatangan disambut oleh Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah dan para menteri Brunei, sebelum melintasi Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien ke belah kiri Brunei sebelum bersemayam di ibu negara, Bandar Seri Begawan.[4]

8 September

8 September menyaksikan aktiviti di Brunei. Pada tengah hari, baginda berkenan melakukan solat Jumaat di Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah di ibu negara.[24] Pada malam pula, baginda berangkat ke majlis santapan malam bersama Sultan Brunei Hassanal Bolkiah dan kerabat diraja Brunei di Istana Nurul Iman.[25][26]

9 September

Kembara meninggalkan Brunei, dan berangkat ke Miri.[27] Pada petang, konvoi baginda tiba di Coco Cabana, dan dipersembahkan dengan pertunjukan kebudayaan setempat, termasuk pakaian tradisional oleh para pengunjung.[28] Pada petang itu juga, baginda berangkat bagi majlis santapan petang di Kampung Pangkalan Lutong bersama komunitit tempatan.[29]

Rujukan

WikiPedia: Kembara Kenali Borneo https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kembara... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09... https://www.sinarharian.com.my/article/277055/beri... https://www.bharian.com.my/node/100122 https://www.bharian.com.my/node/10958 https://www.sinarharian.com.my/article/277163/beri... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09... https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/TITAH_Y... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kembara...